Thursday 22 December 2011

KELEBIHAN HARI JUMAAT


Dalam hadis Rasulullah mengatakan hari Jumaat adalah hari yang besar disisi Allah. Ia lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.Dalam perjalanan ke masjid kita hendaklah dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri. Apabila berada dalam masjid, janganlah melangkah kepala orang untuk kesaf hadapan atau berjalan di sisi mereka. Jika hendak duduk di saf hadapan, kita hendaklah datang awal kerana Rasulullah melarang keras melangkah kepala orang. Apabila masuk masjid, hendaklah kita solat dua rakaat tahayattul masjid walaupun pada masa itu khatib sedang berkhutbah.
Sebaik-baiknya hendaklah ia solat di tiang yang terdekat dengannya supaya orang ramai tidak lalu di hadapannya ketika ia sedang solat. .Ketika imam berkhutbah, kita hendaklah  mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan. Anggaplah nasihat itu untuk diri kita dan berazamlah untuk melaksanakan segala nasihat tersebut.
 Jangan sekali-kali berkata-kata atau bercakap dengan teman ketika imam berkhutbah.
  Setiap hari-hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing,namun hari Jumaat adalah hari yang paling istimewa daripada hari-hari lain. Terdapat enam keistimewaan hari Jumaat iaitu :

1. Berlakunya hari kiamat.
Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”
 2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari Syurga.
 3. Penghulu segala hari.
 Dalam suatu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat di namakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”
 Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.
 4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.
 Daripada Abdullah bin Amr berkata sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)
 5. Kebaikan menjaga kebersihan dan memotong kuku.
Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yangsebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”
6. Makbulnya do'a di antara dua khutbah.
 waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan. 
     Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta."
 “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu."
 “Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas."
 “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam , " dan
 "Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
 Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.
 Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya  : “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi." 
 “Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”
 Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.
 Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam antaranya adalah :  
 1.Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari kiamat.  
2. Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo'akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.    Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
3. Waktu solat subuh membaca surah al-Sajdah dan surah Al-Insan.    
 4. Selesai solat Jumaat : Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas 
 5. Memperbanyakkan do'a, zikir dan selawat
Firman Allah Dalam Al-Quran maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)". (Surah Al-Ahzab, ayat 56)
 6. Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan.
7. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud:  "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang."
 8. "Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar."
 9. "Mereka yang berdo'a dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah."
 Jadi sama samalha kita perbaiki  segala kelemahan diri dan tingkatkan amalan kita pada hari jumaat ini untuk memperoleh ganjaran  yang boleh dijadikan bekal di akhirat kelak…ImsyaAllah…

DOA DIMUDAHKAN SEGALA URUSAN